Friday 19 September 2014

IBADAH BERKUALITI AKHLAK TERPUJI

IBADAH BERKUALITI AKHLAK TERPUJI
(itulah tajuk syarahan yang akan saya sampaikan.) Sebelum saya mengupas lebih lanjut tajuk syarahan saya, izinkan saya mendefinisikan satu persatu istilah tajuk syarahan saya.
“Ibadat” bererti taat serta tunduk dan meyerah diri sepenuhnya kepada Allah swt.
“Kualiti: diertikan sebagai kecemerlangan, keunggulan, ketinggian nilai dan mutu. 
Manakala “Akhlak terpuji” (akhlaqul karimah) ialah segala tingkah laku terpuji yang merupakan tanda kesempurnaan iman seseorang kepada Allah SWT
Kesimpulannya Ibadah berkualiti akhlak terpuji bermaksud  Ibadah atau mengabdikan diri kepada Allah swt, dengan sesempurnanya melahirkan suatu natijah penyempurnaan pembentukan jati diri insan  menjamin kebahagiaan dan pahala di sisi Allah swt.
_______________________________________________________________________________________
Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Hujah saya yang pertama ialah ibadah berkualiti melahirkan insan yang cemerlang
Firman Allah dalam Surah az-Zariyat:  ayat 56 
51:56
yang bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
Dalam hubungan ini, segala gerak kerja manusia dihitung sebagai ibadat jika didahului dengan niat yang ikhlas kepada Allah bagi mendapat keredaan-Nya. Bermula dengan mempunyai niat yang ikhlas yang menjadikan seluruh gerak kerja sebagai ibadat, maka akan lahirlah  modal insan yang  bertanggungjawab, amanah dalam melaksanakan fungsinya serta tekun beribadat kepada Allah.
Kecemerlangan insan boleh dicontohi melalui keperibadian unggul Nabi Muhammad SAW seperti Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 21
33:21
yang bermaksud: Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.
Di sini jelaslah ibadah yang ikhlas melahirkan modal insan yang cemerlang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah.





_______________________________________________________________________
Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Hujah saya yang kedua ialah ibadah berkualiti membentuk aqidah yang mantap
Aqidah yang mantap merupakan kepercayaan yang kukuh terhadap kekuasaan Allah S.W.T. serta menolak segala fahaman atau ideologi lain. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24 :

14:24


Maksudnya : Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Seseorang yang memiliki aqidah yang mantap walau apapun cabarannya, dia tetap teguh dan kukuh tanpa mudah terpengaruh. Kisah Bilal bin Rabah yang terus menyebut Ahad«Ahad«Ahad«´ tatkala diseksa berulang kali menjadi bukti kekentalan aqidah beliau. Tegasnya ibadah yang berkualiti membentuk aqidah yang mantap.




_____________________________________________________________________________________



Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Hujah saya yang ketiga ialah ibadah berkualiti melahirkan muslim yang adil dan beramanah
Melalui sifat-sifat terpuji yang dimiliki, individu muslim akan senantiasa berlaku adil dan beramanah sesama umat manusia. Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 90 :
16:90
Maksudnya : Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berbuat keadilan dan kebaikan.
Peribadi Saidina Umar bin al-Khattab harus dicontohi. Beliau sanggup membuat rondaan pada waktu malam semata-mata untuk menyiasat kehidupan rakyatnya dan memberi bantuan kepada yang memerlukan. Pada hari ini, kerajaan Malaysia sendiri amat menitik beratkan soal adil dan amanah sekaligus menerapkan slogan Bersih, Cekap dan Amanah dalam pentadbiran kerajaan. Pemberian BRIM juga contoh yang jelas tentang konsep adil yang ingin diterapkan oleh kerajaan.


_______________________________________________________________________________________








Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Hujah saya yang keempat ialah ibadah berkualiti menghasilkan pekerjaan yang berkualiti (itqaan)
Pekerjaan yang berkualiti ialah pekerjaan yang dikawal selia oleh Allah pada setiap tingkat usaha.  Hakikat ini dikenali sebagai pencapaian cemerlang iaitu “Ihsaan ”. Golongan ini dikenali sebagai Muhsineen billah.
Rasulullah saw pernah mengungkapkan kata ‘Ihsan’ tersebut dengan sabda baginda:
« يَرَاكَ فَإِنَّهُ تَرَاهُ، تَكُنْ لَمْ فَإِنْ  تَرَاهُ كَأَنَّكَ اللهَ تَعْبُدَ أَنْ قَالَ: الْإِحْسَانُ؟ مَا : قَالَ
“Ihsan itu ialah bahawa kamu mengabdikan diri kepada Allah swt seakan-akan kamu melihat Allah swt (di dalam pekerjaan kamu), dan sekiranya tidak demikian, yakinlah bahawa Allah swt sentiasa memantau dan melihat amalan dan tindakan kamu.” 
Oleh kerana urusan ibadah di dalam Islam merangkumi ibadah khusus dan ibadah umum, maka impak ibadah-ibadah tersebut menghasilkan kesempurnaan amal dan kualiti amal di dalam solat, zakat, puasa, haji, korban dan sebagainya. Begitu jugalah dengan kesempurnaan amalan duniawi yang telah dicorakkan oleh Islam dalam skema pengabdian diri kepada Allah swt, tentulah cemerlang prestasinya seperti berkerja di pejabat, pertanian, perusahaan, pendidikan, pembangunan ekonomi, pemerintahan dan berbagai lagi usaha memajukan kehidupan duniawi insan di dalam acuan amalan soleh. 
______________________________________________________________________________
Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Hujah saya yang kelima ialah ibadah berkualiti melahirkan masyarakat yang produktif
Masyarakat Produktif dalam Islam ialah masyarakat yang terhindar dari perangkap konsep produktiviti dan kemajuan materialistik barat yang tidak berpenghujung, dipenuhi tamak haloba, kikir, perebutan kekayaan, persaingan antarabangsa, rakus dan memperhambakan manusia yang akan membawa banyak krisis kemanusiaan dan ketamadunan.  
Firman Allah swt dalam surah al-Nahl:  ayat 30
16:30
yang bermaksud : Dan ditanya pula kepada orang-orang yang bertaqwa: "Apakah yang telah diturunkan oleh Tuhan kamu?" Mereka menjawab: "Kebaikan" orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik,
Orang bertaqwa adalah golongan yang cermat melaksanakan perintah Allah swt dan menjauhi larangan serta kemurkaan Allah swt. Oleh kerana itulah jika sekiranya dibuat pemeriksaan terhadap tingkah laku dan pekerjaan golongan muttaqin ini, sudah semestinya amalan mereka bermutu tinggi, bebas dari curi tulang, berjihad untuk mencapai kecemerlangan dan bermati-matian mendapatkan pengiktirafan hakiki dari Allah swt
Inilah jawapan manifestasi jihad generasi awal (al-sabiquun al-awwaluun) yang menguasai ilmu, beramal dan berjuang serta berusaha tanpa mengenal jemu untuk menegakkan suruhan agama Allah swt di dalam setiap sektor penghidupan. Maka tidak hairan mengapa umat Islam mampu memimpin peradaban manusia selama tidak kurang dari 900 tahun, di dalam bidang ilmu pengetahuan dan ketamadunan manusia sebelum diambil alih oleh Tamadun Barat.
Kesannya, negara Islam itu layak diberikan anugerah “baldatun tayyibatun, wa rabbun ghafuur” – Negara yang sejahtera dan Tuhan maha pengampun kepada warganya. Inilah jawapan kepada peningkatan hasil produktiviti dan keutuhan ekonomi umat Islam yang beribadah kepada Allah swt. 

_______________________________________________________________________
Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,
Sebagai Rumusannya,
Kehidupan beribadah di dalam Islam mampu memberikan situasi yang positif kepada diri dan kehidupan individu insan, kepada kehidupan bermasyarakat dan bernegara serta dalam usaha membina peradaban dan ketamadunan manusia di muka bumi. Ditegaskan sekali lagi bahawa impak ibadah di dalam Islam itu boleh mengubah tamadun manusia. Inilah kesan agung Islam sebagai al-Din ke atas manusia. Ibadah berkualiti akhlak terpuji.


Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment